TERKINI DARI SINI

Monday, August 31, 2009

Perkembangan terbaru Kempen "UTM Say No To Bonceng"

01 September 2009 : Keputusan undian selama sebulan yang telah dibuat di blogspot PMIUTM menunjukkan seramai 287 orang respondan daripada 315 orang bersetuju supaya UTM dijadikan sebagai kawasan Larangan bonceng antara lelaki dan wanita bukan mahram. Manakala selebihnya iaitu seramai 28 orang atau 8% daripada 315 respondan tidak bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai Zon Larangan Bonceng.

Undian tersebut dijalankan oleh PMIUTM selaku penggerak utama adalah bertujuan untuk mendapatkan respon sebagai pengukur kepada kecenderungan mahasiswa . Sejak sebulan lalu kempen ini dijalankan, pelbagai pihak telah memberi respon sama ada yang bersetuju mahupun yang tidak bersetuju. Walaupun dalam jumlah respondan yang hanya 315 orang sahaja, keputusan majoriti menunjukkan mahasiswa kebanyakannya cukup bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng.

Dalam satu perkembangan yang lain, Pengerusi Badan bertindak UTM Zon Larangan bonceng,Saudara Ismail Bin Sirajudin telah dimaklumkan oleh Saudara Azim Fahada, Exco Kebajikan MPPUTM merangkap pengerusi Pro Mahasiswa UTM bahawa beliau telah menerima proposal daripada semua kolej di UTM berkenaan tuntutan mahasiswa kepada pihak lembaga pengarah UTM yang akan dibentangkan dalam mesyuarat kebajikan mahasiswa pada 9 September 2009 nanti.

Menariknya, kebanyakan Jawatankuasa kolej Mahasiswa (JKM) yang telah menghantar proposal mencadangkan supaya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng sebagai salah satu cadangan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif dimana pimpinan mahasiswa diperingkat kolej juga mula menunjukkan respon positif terhadap kempen ini.

Desakan demi desakan dari pelbagai pihak InsyaAllah bakal mengubah utm kepada suasana yang lebih harmoni dengan wujudnya zon larangan bonceng ini. Justeru, pihak jawatankuasa pusat "UTM Say No To Bonceng" menyeru kepada semua mahasiswa UTM agar dapat memberi penerangan sama ada melalui risalah, blog individu atau ucapan lisan agar mahasiswa UTM lebih sedar tentang pentingnya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng. Sekian. MyLPM.

Sunday, August 16, 2009

Kutipan Tandatangan di PESTA KONVO UTM


16 OGOS 2009 : Ahli Jawatankuasa Pusat akan meneruskan kempen ke pesta konvo yang telah berlangsung beberapa hari lepas untuk mengutip tandatangan tanda sokongan terhadap kempen ini. Laporan yang diterima hari ini menunjukkan hampir 5000 mahasiswa telah menurunkan tandatangan tanda sokongan terhadap kempen ini. Sokongan ini bukan sahaja di kalangan orang Islam, malah daripada kaum cina dan juga India. Borang tandatangan akan diletakkan di gerai Persatuan Mahasiswa Islam yang berada di pesta konvo.

Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif kerana kempen ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dikalangan mahasiswa dan warga utm yang lain. Disamping itu, pihak jawatankuasa pusat juga telah menerima banyak surat sokongan daripada pimpinan-pimpinan persatuan di dalam universiti, tidak kurang juga daripada beberapa orang atasan universiti.

Selain itu, bagi merancakkan lagi kempen ini, pihak jawatankuasa pusat telah membuat pelekat menggunakan logo "UTM SAY NO TO Bonceng" untuk diedarkan kepada masyarakat kampus. Selain itu, poster dan banner kempen juga akan dinaikkan di sekitar kampus UTM tanda keseriusan pihak jawatankuasa terhadap kempen ini. Sekian. MyLPM

Thursday, August 6, 2009

1128 Mahasiswa UTM Menyokong UTM Say No to Bonceng

07 Ogos 2009: Setakat pukul 12:46 tengahari ini, sebanyak 1128 tandatangan mahasiswa UTM telah dikumpulkan daripada borang-borang tandatangan yang dikembalikan kepada jawatankuasa pusat UTM Say No to Bonceng. Kempen pungutan tandatangan yang bermula sejak 3 Ogos 2009 yang lalu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa UTM pelbagai bangsa dan agama.

Ketua-ketua Operasi Kolej telah menjalankan tanggungjawab mereka untuk membahagikan tenaga kerja di kolej masing-masing dengan dibantu oleh ahli jawatankuasa pusat. Kempen ini turut dibantu oleh ahli-ahli PMI UTM, Biro-biro dan Kelab-kelab Kerohanian di kolej-kolej sekitar UTM. Biarpun kekurangan tenaga kerja di beberapa buah kolej, ia tidak membantutkan semangat ahli jawatankuasa pusat untuk terus mendekati mahasiswa bagi mendengar pandangan mereka mengenai kempen ini.

Terbaru, pihak Pusat Islam UTM yang diwakili oleh Pengarah Pusat Islam, Dr. Azhar Mohamed turut menyatakan sokongannya untuk menjayakan kempen ini melalui surat sokongan yang telah disampaikan kepada Pengerusi jawatankuasa pusat. Beberapa persatuan fakulti termasuk Persatuan STRATEGI dan Persatuan SMART dari Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (FPPSM) turut menyuarakan sokongan kepada kempen UTM Say No to Bonceng. Timbalan Dekan (Akademik) FPPSM, PM. Dr. Rosman Bin Md. Yusoff pula mewakili FPPSM untuk menyatakan sokongan melalui surat yang dihantar kepada jawatankuasa pusat, menjadikan fakulti tersebut fakulti yang kedua menyokong kempen ini selepas FKE.

Menurut Pengerusi jawatankuasa pusat, kempen yang berjaya menarik perhatian banyak pihak ini akan diserap ke dalam Kempen Akhlak Mulia 2009 (KAM '09) yang dianjurkan oleh PMI UTM bermula hari ini hingga 29 Ogos 2009 dan bakal menjadi salah satu fokus utama gejala sosial yang akan dibincangkan secara bersama antara mahasiswa, Pusat Islam, Unit Keselamatan, PPIPS dan pihak pentadbiran UTM.

Pihak jawatankuasa pusat masih menunggu borang-borang tandatangan daripada beberapa kolej yang lain untuk tindakan kemaskini. Walaupun begitu, tidak kurang juga yang menentang kempen UTM Say No to Bonceng dengan adanya edaran risalah biru di Kolej 11 beberapa hari yang lalu. Risalah tersebut yang kini berada dalam tangan Pengerusi jawatankuasa pusat akan dikupas dalam entri yang akan datang. Sekian. MyLPM

Tuesday, August 4, 2009

Konferens Gejala Sosial


04 OGOS 2009 : Satu Konferens Gejala Sosial bakal diadakan oleh PMIUTM bagi membincangkan permasalahan sosial yang berlaku di sekitar UTM. Ini adalah salah satu usaha pihak jawatankuasa pusat bagi memastikan kempen ini berjaya. Konferens tersebut bakal dihadiri oleh para Pensyarah, pihak pentadbiran HEP, pihak keselamatan UTM dan pimpinan-pimpinan Mahasiswa UTM serta terbuka kepada semua warga kampus.

Pelbagai desakan dan kritikan serta tentangan yang telah diterima oleh Pihak Jawatankuasa pusat dalam pelaksanaan kempen ini. Oleh itu, pihak kami telah mengaturkan satu program khusus bagi sama-sama kita membincangkan permasalahan yang semakin serius ini. Lontaran pandangan daripada semua amat kami harapkan.

Di akhir konferens ini juga, Satu resolusi bersama hep, mahasiswa, pusat Islam, pihak keselamatan dan umumnya warga kampus akan dibuat bagi mengatasi gejala sosial di UTM untuk diserahkan kepada pihak pentadbiran untuk dilaksanakan.

Lujnah R&D PMIUTM di bawah pantauan Saudara Ghazali selaku pengerusi lujnah R&D PMIUTM juga sedang membuat kajian berkenaan akhlak mahasiswa Islam dengan membuat kaji selidik terhadap hampir 1000 orang respondan secara rawak dikalangan mahasiwa UTM . Kajian ini diharapkan dapat mengukuhkan hujah pihak jawatankuasa bertindak pusat untuk menjadikan UTM sebagai Zon Larangan Bonceng. Sekian. MyLPM.


Sunday, August 2, 2009

Persatuan Mahasiswa pendidikan menyokong kempen Say No To Bonceng!!

Mahasiswa adalah golongan yang terpilih dikalangan masyarakat. Kepakaran dan intelektual men jadi simbolik yang tidak dapat dipisahkan dari pandangan masyarakat terhadap mahasiswa. Daya pemikiran yang tinggi dan jauh juga menjadikan mahasiswa golongan yang istimewa dan dikagumi. Disebabkan itulah mahasiswa diberi tempat yang istimewa iaitu ditempatkan disebuah institusi yang dipanggil sebagai universiti. Segala kemudahan dan prasarana yang pelbagai disediakan kepada mahasiswa untuk memastikan proses perkembangan intelektual menjadi pesat dan tepat.

Persoalan utama yang perlu diselesaikan adalah adakah mahasiswa sekarang seperti yang dinyatakan. Kehidupan mahasiswa sekarang tidak menggambarkan budaya intelektual fungsi. Mahaiswa lebih suka membudayakan budaya luar seperti hedonisma, berpasangan , melepak dan sebagainya. Perkara ini amat membimbangkan bagi golongan yang mengambil berat. Oleh itu, kedengaran baru baru ini, proses transformasi telah dilancarkan untuk mengambalikan mahasiswa ke tempat yang sepatutnya.

Pelbagai pihak yang mempunyai kesedaran telah memainkan peranan mereka untuk mengizzahkan kembali mahaiswa. Antaranya Persatuan Mahasiswa Islam University Teknologi Malaysia. Persatuan ini telah melakukan banyak usaha untuk menjadikan mahasiswa benar- benar sedar tentang peranan sebenar seorang mahasiswa .Program seperti seminar intelektual dan projek “Say No To Bonceng”. projek “Say No To Bonceng” adalah salah satu projek yang dirangka dengan cukup teliti dalam membanteras kejatuhan moral dikalangan mahasiswa akibat tidak mempunyai pemikiran yang panjang. Projek ini mempunyai nilai yang cukup tinggi dalam membangunkan kembali nilai seorang mahasiswa.

Pencegahan budaya membonceng adalah amat perlu dalam menangani masalah gejala social yang parah sekarang ini. Membonceng adalah salah satu proses dalam gejala sosial yang akhirnya akan membawa kepada keruntuhan akhlak . Secara logiknya, apabila sesuatu pasangan yang bukan mahram bebas melakukan perkara yang tidak bermoral akan menyebabkan berlakunya perkara perkara maksiat seperti zina, mengandung luar nikah dan sebagainya. Ini akan menjatuhkan maruah sebagai golongan intelektual.

Dengan itu, Persatuan Mahasiswa Pendidikan dengan sepenuh hati menyokong usaha yang dilakukan oleh Persatuan Mahasiswa Islam dan akan cuba membantu jika memerlukan bantuan dalam menjayakan program ini. Kami juga menyeru kepada seluruh masyarakat kampus supaya memberikan sokongan dan kerjasama yang baik dalam menjayakan usaha yang dilakukan oleh Persatuan Mahasiswa Islam ini.

Oleh :
Presiden Persatuan Mahasiswa Pendidikan utm
http://penunggangdunia.blogspot.com/