TERKINI DARI SINI

Sunday, October 18, 2009

Cerpen muhasabah


Selepas Subuh hari itu, saya memerhatikan beberapa ayat al-Quran. Tadabbur dan tafakkur. Khali seketika. Saya amat tersentak apabila memerhatikan makna yang terkandung dalam surah Iqra’.

“Apa yang Abg Dzul dapat daripada surah itu?” adik usrah saya bertanya.

“Surah ini banyak juga membentak Abu Jahal. Apa yang paling menakutkan ialah apabila Allah membuat satu cabaran terbuka kepada bapa saudara nabi yang kufur itu. “Maka panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu)”. Itu cabaran yang dilemparkan oleh Allah,” jelas saya ringkas.

Namun bukan itu yang menakutkan. Saya diam mengumpul tenaga. terasa sebak melanda hati saya, sekaligus membuatkan jiwa saya terperosok ke lembah kedukaan. Saya dapat merasakan seolah-olah saya benci seketika untuk melakukan maksiat.

Rantai keimanan mengikat saya. “Panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu). Kami (Allah) pula akan memanggil Zabaniah.”


Itu yang menakutkan. Allah membuat cabaran akan memanggil Zabaniah untuk berhadapan dengan orang-orang yang sombong. Zabaniah sebagai penjaga neraka yang bengis dan tidak pernah tersenyum setelah melihat penciptaan neraka ditugaskan untuk melayan orang-orang yang sombong.

Dalam neraka itu ada buah zaqqum. Buah yang berbau busuk dan loya, lebih meloyakan berbanding najis yang melimpahi mangkuk tandas.

Dalam neraka itu ada hidangan air bernanah. Seolah-olah nanah yang pecah setelah membesar, lalu dihirup dan dijilat dengan lidah. Itu hidangan ahli neraka.

“Adik-adikku, jauhilah kamu dari zina,” saya berpesan kepada adik-adik usrah saya kalangan muslimah. Mereka mendengar dengan tekun. “Sesungguhnya dihikayatkan dalam satu kisah, buah dada penzina perempuan akan digantung dengan tali neraka,” ada kalangan mereka mula menitiskan air mata.

Pernahkah kita membayangkan bahawa mata kita akan dicucuk dengan besi panas? Atau kuku kita dicabut satu-persatu. Atau kulit kita dilapah-lapah? “Maka adik-adik muslimin, jauhilah kamu dari zina. Sukakah jika kemaluan kamu dicucuk dengan jarum?”

Zabaniah tidak berhati petur. Ia tidak mengenal erti belas kasihan. Jika perlu, ia akan menarik lidah kita lalu dikelar dengan pisau tajam. Jika perlu, ia akan menusuk dubur kita dengan kayu berduri. Jika perlu, ia akan menusuk mata kita dengan jarum tajam.

Aduh, neraka itu tempat yang gelap gelita. Penghuninya berbau busuk sekali, loya dan meloyakan. Penuh dengan muntah dan kencing serta najis yang berlimpahan. Penuh dengan suasana yang trauma dan menakutkan.

Saya ingin melemparkan satu amaran kepada diri saya yang melakukan maksiat.

Sungguh, orang yang mengerti tentang Islam, namun jika ia keluar berdua-duaan dengan yang bukan muhrim atau kekasihnya, maka saya ingin bertanya. “Sanggupkah kamu melihat buah dada kekasih kamu digantung dengan tali neraka?”

“Atau sanggupkah kamu melihat kemaluan kekasih kamu dimasukkan jarum”.

Menangislah, Zabaniah tidak akan peduli.

Sentuhlah babi yang penuh dengan lumpur. Sesungguhnya nabi saw bersabda, menyentuh babi yang penuh lumpur lebih mulia daripada menyentuh kulit perempuan yang bukan muhrim.

Jika kamu ingin melihat salah seorang bakal penghuni neraka, lihatlah kepada orang yang selalu melayan nafsu kamu, keluar berdua-duaan dengan kamu, rela tangannya dipimpin kamu, rela badannya diusap-usap oleh kamu, rela menghabiskan masa dengan kamu, rela bibir dan pipinya dicium kamu, rela menunggang motor bersama kamu, lalu ia memeluk kamu dengan penuh erat. Itulah calon neraka.

“Ustaz, bagaimana ingin menimbulkan rasa benci kepada sikap itu? Suka keluar bersama pasangan, di waktu siang mahupun malam, bersama di atas motor dan kereta.”

Saya menjawab, “Bayangkan jika ibu kamu yang keluar bersama lelaki lain. Apakah kamu akan membenci ibu kamu?”

Ah, Zabaniah tidak peduli dengan raungan dan rintihan orang yang merayu. Zabaniah hanya mengenal erti ‘penyeksaan’.

“Anakku,” guru memangil saya satu ketika. Saya sedikit mendekatkan telinga saya ke bibirnya. “Janganlah kamu hanya menangisi dosa-dosa yang kamu lakukan. Tetapi fikirkanlah juga bagaimana cara menimbulkan benci kepada dosa. Orang yang hanya menangisi kesilapan akan mengulanginya semula. Orang yang menanam rasa benci tidak akan kembali,” saya mengangguk.

“Anakku,” guru masih ingin memberikan nasihat. “Pernahkah kamu merasa air kencing kamu?” saya terus menggeleng. Terasa gei menguasai diri. “Jika kamu ingin merasa air kencing kamu, lakukanlah maksiat. Kelak Zabaniah akan menghidangkan air kencing sebagai hidangan minuman kamu.”

“Anakku,” saya sudah tidak mampu menahan sebak. Sedih. Galau. Takut. Gerun. Semua bercampur-campur dalam hati yang satu. Kamu tahukah apa ibarat neraka itu?” saya menjawab tidak, dalam sebak.

“Umpama tangki tahi. Itulah ibarat neraka,”

« Anakku, jika kamu ingin selamat di akhirat, aku ingin memberikan satu petua. Jika kamu berjaya mengikut petua aku ini, engkau akan selamat, »

« Kamu perlekehkan nafsu kamu. Hina ia. Kamu perlekehkan kehendak dunia kamu. Hinakan ia. Namun ingatlah satu perkara. Semakin kamu memperlekehkan nafsu kamu, maka semakin kuat ia mengejar kamu,” pesan guru dan tiba-tiba kemudiannya guru ghaib.

Zabaniah tidak kenal erti kasih.

Saya berbisik dalam hati, “Tuhan, jauhkanlah Zabaniah daripada hamba-Mu yang penuh dengan maksiat ini,” lalu saya tersungkur di mihrab kerinduan.

sumber : http://dzulkhairi.blogspot.com

Sunday, September 6, 2009

Membina Iklim yang "Soleh" Melalui kempen Say No To Bonceng


ANTARA perkara yang ajaran Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau suasana yang solehah. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya.

Insan apabila hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya.

Demikian jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya.

Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti.

Membentuk peribadi seorang insan – di satu sudut – memerlukan pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Sebab kegagalan membentuk seorang anak kecil agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke universiti, bergaul dengan kawan tanpa ada batas antara lelaki dan perempuan, melihat pasangan-pasangan berbonceng di sana sini, dan seumpamanya yang kesemuanya menyumbang ke unsur-unsur negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran yang telah di bina dirumah tadi akan terhakis sedikit demi sedikit.

Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:

Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya (Riwayat Ahmad)

Maka kita tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.

Firman Allah: (maksudnya):

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

Inilah tanggungjawab penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan. Allah menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.

Allah Maha Agung memerintahkan sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan amanah kekuasaan agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan kepada peraturan Allah iaitu Islam. Apa yang Allah galakkan maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun haramkan.

Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian. Mana-mana perkara yang dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Saya cuba membicarakan tajuk ini memandang meningkatnya kerunsingan kita semua terhadap keadaan persekitaran masyarakat yang dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Inilah hasilnya apabila tanggungjawab Amar Ma‘ruf dan Nahi Mungkar tidak menguasai masyarakat. Atau jika adapun suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh.

Bahkan kadangkala suruhan kepada makruf dan pencegahan kepada mungkar berjalan atas kepentingan tertentu. Kadar kempen kepada kesedaran seperti solat, tidak lebih hebat daripada kadar kempen kepada kelalaian dan kealpaan hidup. Hal ini boleh kita lihat saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.

Perkara makruf itu begitu banyak jika hendak ditegakkan. Ini termasuk menyuruh kepada solat, puasa, zakat, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. Juga menegakkan ilmu pengetahuan, keadilan, kebajikan, kedamaian merupakan tanggungjawab Amar Makruf.

Namun biasanya, penegakan yang makruf tidaklah begitu susah sesusah usaha mencegah perkara mungkar. Maka banyak pihak seperti penceramah-penceramah TV yang sanggup mengajak kepada yang baik tetapi takut untuk mencegah yang mungkar.

Maka sebab itu, walaupun ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran. Bahkan suruhan yang makruf itupun hanya dalam perkara terpilih atau lebih tertumpu kepada soal-soal kelebihan amal. Tiada keberanian menyentuh perkara-perkara pokok seperti prinsip ilmu, keadilan dan seumpamanya.

Bani Israil dilaknat kerana meninggalkan usaha mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya):

Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.

Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.

Firman Allah: (maksudnya):

Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25).

Dalam menafsirkan ayat ini Ibn Abbas berkata : Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku dikalangan mereka, Nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).

Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.

Kata al-Nawawi (meninggal 676H):

“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munfkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim)

Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.

Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti membonceng antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.

Firman Allah:

(maksudnya) Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). (Surah al-An‘am, ayat 68).

Firman Allah juga: (maksudnya):

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. (Surah al-Nisa, ayat 140).

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:

“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini.

Marilah kita bina iklim takwa..

Monday, August 31, 2009

Perkembangan terbaru Kempen "UTM Say No To Bonceng"

01 September 2009 : Keputusan undian selama sebulan yang telah dibuat di blogspot PMIUTM menunjukkan seramai 287 orang respondan daripada 315 orang bersetuju supaya UTM dijadikan sebagai kawasan Larangan bonceng antara lelaki dan wanita bukan mahram. Manakala selebihnya iaitu seramai 28 orang atau 8% daripada 315 respondan tidak bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai Zon Larangan Bonceng.

Undian tersebut dijalankan oleh PMIUTM selaku penggerak utama adalah bertujuan untuk mendapatkan respon sebagai pengukur kepada kecenderungan mahasiswa . Sejak sebulan lalu kempen ini dijalankan, pelbagai pihak telah memberi respon sama ada yang bersetuju mahupun yang tidak bersetuju. Walaupun dalam jumlah respondan yang hanya 315 orang sahaja, keputusan majoriti menunjukkan mahasiswa kebanyakannya cukup bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng.

Dalam satu perkembangan yang lain, Pengerusi Badan bertindak UTM Zon Larangan bonceng,Saudara Ismail Bin Sirajudin telah dimaklumkan oleh Saudara Azim Fahada, Exco Kebajikan MPPUTM merangkap pengerusi Pro Mahasiswa UTM bahawa beliau telah menerima proposal daripada semua kolej di UTM berkenaan tuntutan mahasiswa kepada pihak lembaga pengarah UTM yang akan dibentangkan dalam mesyuarat kebajikan mahasiswa pada 9 September 2009 nanti.

Menariknya, kebanyakan Jawatankuasa kolej Mahasiswa (JKM) yang telah menghantar proposal mencadangkan supaya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng sebagai salah satu cadangan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif dimana pimpinan mahasiswa diperingkat kolej juga mula menunjukkan respon positif terhadap kempen ini.

Desakan demi desakan dari pelbagai pihak InsyaAllah bakal mengubah utm kepada suasana yang lebih harmoni dengan wujudnya zon larangan bonceng ini. Justeru, pihak jawatankuasa pusat "UTM Say No To Bonceng" menyeru kepada semua mahasiswa UTM agar dapat memberi penerangan sama ada melalui risalah, blog individu atau ucapan lisan agar mahasiswa UTM lebih sedar tentang pentingnya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng. Sekian. MyLPM.

Sunday, August 16, 2009

Kutipan Tandatangan di PESTA KONVO UTM


16 OGOS 2009 : Ahli Jawatankuasa Pusat akan meneruskan kempen ke pesta konvo yang telah berlangsung beberapa hari lepas untuk mengutip tandatangan tanda sokongan terhadap kempen ini. Laporan yang diterima hari ini menunjukkan hampir 5000 mahasiswa telah menurunkan tandatangan tanda sokongan terhadap kempen ini. Sokongan ini bukan sahaja di kalangan orang Islam, malah daripada kaum cina dan juga India. Borang tandatangan akan diletakkan di gerai Persatuan Mahasiswa Islam yang berada di pesta konvo.

Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif kerana kempen ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dikalangan mahasiswa dan warga utm yang lain. Disamping itu, pihak jawatankuasa pusat juga telah menerima banyak surat sokongan daripada pimpinan-pimpinan persatuan di dalam universiti, tidak kurang juga daripada beberapa orang atasan universiti.

Selain itu, bagi merancakkan lagi kempen ini, pihak jawatankuasa pusat telah membuat pelekat menggunakan logo "UTM SAY NO TO Bonceng" untuk diedarkan kepada masyarakat kampus. Selain itu, poster dan banner kempen juga akan dinaikkan di sekitar kampus UTM tanda keseriusan pihak jawatankuasa terhadap kempen ini. Sekian. MyLPM

Thursday, August 6, 2009

1128 Mahasiswa UTM Menyokong UTM Say No to Bonceng

07 Ogos 2009: Setakat pukul 12:46 tengahari ini, sebanyak 1128 tandatangan mahasiswa UTM telah dikumpulkan daripada borang-borang tandatangan yang dikembalikan kepada jawatankuasa pusat UTM Say No to Bonceng. Kempen pungutan tandatangan yang bermula sejak 3 Ogos 2009 yang lalu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa UTM pelbagai bangsa dan agama.

Ketua-ketua Operasi Kolej telah menjalankan tanggungjawab mereka untuk membahagikan tenaga kerja di kolej masing-masing dengan dibantu oleh ahli jawatankuasa pusat. Kempen ini turut dibantu oleh ahli-ahli PMI UTM, Biro-biro dan Kelab-kelab Kerohanian di kolej-kolej sekitar UTM. Biarpun kekurangan tenaga kerja di beberapa buah kolej, ia tidak membantutkan semangat ahli jawatankuasa pusat untuk terus mendekati mahasiswa bagi mendengar pandangan mereka mengenai kempen ini.

Terbaru, pihak Pusat Islam UTM yang diwakili oleh Pengarah Pusat Islam, Dr. Azhar Mohamed turut menyatakan sokongannya untuk menjayakan kempen ini melalui surat sokongan yang telah disampaikan kepada Pengerusi jawatankuasa pusat. Beberapa persatuan fakulti termasuk Persatuan STRATEGI dan Persatuan SMART dari Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (FPPSM) turut menyuarakan sokongan kepada kempen UTM Say No to Bonceng. Timbalan Dekan (Akademik) FPPSM, PM. Dr. Rosman Bin Md. Yusoff pula mewakili FPPSM untuk menyatakan sokongan melalui surat yang dihantar kepada jawatankuasa pusat, menjadikan fakulti tersebut fakulti yang kedua menyokong kempen ini selepas FKE.

Menurut Pengerusi jawatankuasa pusat, kempen yang berjaya menarik perhatian banyak pihak ini akan diserap ke dalam Kempen Akhlak Mulia 2009 (KAM '09) yang dianjurkan oleh PMI UTM bermula hari ini hingga 29 Ogos 2009 dan bakal menjadi salah satu fokus utama gejala sosial yang akan dibincangkan secara bersama antara mahasiswa, Pusat Islam, Unit Keselamatan, PPIPS dan pihak pentadbiran UTM.

Pihak jawatankuasa pusat masih menunggu borang-borang tandatangan daripada beberapa kolej yang lain untuk tindakan kemaskini. Walaupun begitu, tidak kurang juga yang menentang kempen UTM Say No to Bonceng dengan adanya edaran risalah biru di Kolej 11 beberapa hari yang lalu. Risalah tersebut yang kini berada dalam tangan Pengerusi jawatankuasa pusat akan dikupas dalam entri yang akan datang. Sekian. MyLPM

Tuesday, August 4, 2009

Konferens Gejala Sosial


04 OGOS 2009 : Satu Konferens Gejala Sosial bakal diadakan oleh PMIUTM bagi membincangkan permasalahan sosial yang berlaku di sekitar UTM. Ini adalah salah satu usaha pihak jawatankuasa pusat bagi memastikan kempen ini berjaya. Konferens tersebut bakal dihadiri oleh para Pensyarah, pihak pentadbiran HEP, pihak keselamatan UTM dan pimpinan-pimpinan Mahasiswa UTM serta terbuka kepada semua warga kampus.

Pelbagai desakan dan kritikan serta tentangan yang telah diterima oleh Pihak Jawatankuasa pusat dalam pelaksanaan kempen ini. Oleh itu, pihak kami telah mengaturkan satu program khusus bagi sama-sama kita membincangkan permasalahan yang semakin serius ini. Lontaran pandangan daripada semua amat kami harapkan.

Di akhir konferens ini juga, Satu resolusi bersama hep, mahasiswa, pusat Islam, pihak keselamatan dan umumnya warga kampus akan dibuat bagi mengatasi gejala sosial di UTM untuk diserahkan kepada pihak pentadbiran untuk dilaksanakan.

Lujnah R&D PMIUTM di bawah pantauan Saudara Ghazali selaku pengerusi lujnah R&D PMIUTM juga sedang membuat kajian berkenaan akhlak mahasiswa Islam dengan membuat kaji selidik terhadap hampir 1000 orang respondan secara rawak dikalangan mahasiwa UTM . Kajian ini diharapkan dapat mengukuhkan hujah pihak jawatankuasa bertindak pusat untuk menjadikan UTM sebagai Zon Larangan Bonceng. Sekian. MyLPM.