TERKINI DARI SINI

Sunday, October 18, 2009

Cerpen muhasabah


Selepas Subuh hari itu, saya memerhatikan beberapa ayat al-Quran. Tadabbur dan tafakkur. Khali seketika. Saya amat tersentak apabila memerhatikan makna yang terkandung dalam surah Iqra’.

“Apa yang Abg Dzul dapat daripada surah itu?” adik usrah saya bertanya.

“Surah ini banyak juga membentak Abu Jahal. Apa yang paling menakutkan ialah apabila Allah membuat satu cabaran terbuka kepada bapa saudara nabi yang kufur itu. “Maka panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu)”. Itu cabaran yang dilemparkan oleh Allah,” jelas saya ringkas.

Namun bukan itu yang menakutkan. Saya diam mengumpul tenaga. terasa sebak melanda hati saya, sekaligus membuatkan jiwa saya terperosok ke lembah kedukaan. Saya dapat merasakan seolah-olah saya benci seketika untuk melakukan maksiat.

Rantai keimanan mengikat saya. “Panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu). Kami (Allah) pula akan memanggil Zabaniah.”


Itu yang menakutkan. Allah membuat cabaran akan memanggil Zabaniah untuk berhadapan dengan orang-orang yang sombong. Zabaniah sebagai penjaga neraka yang bengis dan tidak pernah tersenyum setelah melihat penciptaan neraka ditugaskan untuk melayan orang-orang yang sombong.

Dalam neraka itu ada buah zaqqum. Buah yang berbau busuk dan loya, lebih meloyakan berbanding najis yang melimpahi mangkuk tandas.

Dalam neraka itu ada hidangan air bernanah. Seolah-olah nanah yang pecah setelah membesar, lalu dihirup dan dijilat dengan lidah. Itu hidangan ahli neraka.

“Adik-adikku, jauhilah kamu dari zina,” saya berpesan kepada adik-adik usrah saya kalangan muslimah. Mereka mendengar dengan tekun. “Sesungguhnya dihikayatkan dalam satu kisah, buah dada penzina perempuan akan digantung dengan tali neraka,” ada kalangan mereka mula menitiskan air mata.

Pernahkah kita membayangkan bahawa mata kita akan dicucuk dengan besi panas? Atau kuku kita dicabut satu-persatu. Atau kulit kita dilapah-lapah? “Maka adik-adik muslimin, jauhilah kamu dari zina. Sukakah jika kemaluan kamu dicucuk dengan jarum?”

Zabaniah tidak berhati petur. Ia tidak mengenal erti belas kasihan. Jika perlu, ia akan menarik lidah kita lalu dikelar dengan pisau tajam. Jika perlu, ia akan menusuk dubur kita dengan kayu berduri. Jika perlu, ia akan menusuk mata kita dengan jarum tajam.

Aduh, neraka itu tempat yang gelap gelita. Penghuninya berbau busuk sekali, loya dan meloyakan. Penuh dengan muntah dan kencing serta najis yang berlimpahan. Penuh dengan suasana yang trauma dan menakutkan.

Saya ingin melemparkan satu amaran kepada diri saya yang melakukan maksiat.

Sungguh, orang yang mengerti tentang Islam, namun jika ia keluar berdua-duaan dengan yang bukan muhrim atau kekasihnya, maka saya ingin bertanya. “Sanggupkah kamu melihat buah dada kekasih kamu digantung dengan tali neraka?”

“Atau sanggupkah kamu melihat kemaluan kekasih kamu dimasukkan jarum”.

Menangislah, Zabaniah tidak akan peduli.

Sentuhlah babi yang penuh dengan lumpur. Sesungguhnya nabi saw bersabda, menyentuh babi yang penuh lumpur lebih mulia daripada menyentuh kulit perempuan yang bukan muhrim.

Jika kamu ingin melihat salah seorang bakal penghuni neraka, lihatlah kepada orang yang selalu melayan nafsu kamu, keluar berdua-duaan dengan kamu, rela tangannya dipimpin kamu, rela badannya diusap-usap oleh kamu, rela menghabiskan masa dengan kamu, rela bibir dan pipinya dicium kamu, rela menunggang motor bersama kamu, lalu ia memeluk kamu dengan penuh erat. Itulah calon neraka.

“Ustaz, bagaimana ingin menimbulkan rasa benci kepada sikap itu? Suka keluar bersama pasangan, di waktu siang mahupun malam, bersama di atas motor dan kereta.”

Saya menjawab, “Bayangkan jika ibu kamu yang keluar bersama lelaki lain. Apakah kamu akan membenci ibu kamu?”

Ah, Zabaniah tidak peduli dengan raungan dan rintihan orang yang merayu. Zabaniah hanya mengenal erti ‘penyeksaan’.

“Anakku,” guru memangil saya satu ketika. Saya sedikit mendekatkan telinga saya ke bibirnya. “Janganlah kamu hanya menangisi dosa-dosa yang kamu lakukan. Tetapi fikirkanlah juga bagaimana cara menimbulkan benci kepada dosa. Orang yang hanya menangisi kesilapan akan mengulanginya semula. Orang yang menanam rasa benci tidak akan kembali,” saya mengangguk.

“Anakku,” guru masih ingin memberikan nasihat. “Pernahkah kamu merasa air kencing kamu?” saya terus menggeleng. Terasa gei menguasai diri. “Jika kamu ingin merasa air kencing kamu, lakukanlah maksiat. Kelak Zabaniah akan menghidangkan air kencing sebagai hidangan minuman kamu.”

“Anakku,” saya sudah tidak mampu menahan sebak. Sedih. Galau. Takut. Gerun. Semua bercampur-campur dalam hati yang satu. Kamu tahukah apa ibarat neraka itu?” saya menjawab tidak, dalam sebak.

“Umpama tangki tahi. Itulah ibarat neraka,”

« Anakku, jika kamu ingin selamat di akhirat, aku ingin memberikan satu petua. Jika kamu berjaya mengikut petua aku ini, engkau akan selamat, »

« Kamu perlekehkan nafsu kamu. Hina ia. Kamu perlekehkan kehendak dunia kamu. Hinakan ia. Namun ingatlah satu perkara. Semakin kamu memperlekehkan nafsu kamu, maka semakin kuat ia mengejar kamu,” pesan guru dan tiba-tiba kemudiannya guru ghaib.

Zabaniah tidak kenal erti kasih.

Saya berbisik dalam hati, “Tuhan, jauhkanlah Zabaniah daripada hamba-Mu yang penuh dengan maksiat ini,” lalu saya tersungkur di mihrab kerinduan.

sumber : http://dzulkhairi.blogspot.com

Sunday, September 6, 2009

Membina Iklim yang "Soleh" Melalui kempen Say No To Bonceng


ANTARA perkara yang ajaran Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau suasana yang solehah. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya.

Insan apabila hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya.

Demikian jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya.

Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti.

Membentuk peribadi seorang insan – di satu sudut – memerlukan pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Sebab kegagalan membentuk seorang anak kecil agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke universiti, bergaul dengan kawan tanpa ada batas antara lelaki dan perempuan, melihat pasangan-pasangan berbonceng di sana sini, dan seumpamanya yang kesemuanya menyumbang ke unsur-unsur negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran yang telah di bina dirumah tadi akan terhakis sedikit demi sedikit.

Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:

Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya (Riwayat Ahmad)

Maka kita tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.

Firman Allah: (maksudnya):

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

Inilah tanggungjawab penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan. Allah menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.

Allah Maha Agung memerintahkan sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan amanah kekuasaan agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan kepada peraturan Allah iaitu Islam. Apa yang Allah galakkan maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun haramkan.

Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian. Mana-mana perkara yang dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Saya cuba membicarakan tajuk ini memandang meningkatnya kerunsingan kita semua terhadap keadaan persekitaran masyarakat yang dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Inilah hasilnya apabila tanggungjawab Amar Ma‘ruf dan Nahi Mungkar tidak menguasai masyarakat. Atau jika adapun suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh.

Bahkan kadangkala suruhan kepada makruf dan pencegahan kepada mungkar berjalan atas kepentingan tertentu. Kadar kempen kepada kesedaran seperti solat, tidak lebih hebat daripada kadar kempen kepada kelalaian dan kealpaan hidup. Hal ini boleh kita lihat saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.

Perkara makruf itu begitu banyak jika hendak ditegakkan. Ini termasuk menyuruh kepada solat, puasa, zakat, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. Juga menegakkan ilmu pengetahuan, keadilan, kebajikan, kedamaian merupakan tanggungjawab Amar Makruf.

Namun biasanya, penegakan yang makruf tidaklah begitu susah sesusah usaha mencegah perkara mungkar. Maka banyak pihak seperti penceramah-penceramah TV yang sanggup mengajak kepada yang baik tetapi takut untuk mencegah yang mungkar.

Maka sebab itu, walaupun ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran. Bahkan suruhan yang makruf itupun hanya dalam perkara terpilih atau lebih tertumpu kepada soal-soal kelebihan amal. Tiada keberanian menyentuh perkara-perkara pokok seperti prinsip ilmu, keadilan dan seumpamanya.

Bani Israil dilaknat kerana meninggalkan usaha mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya):

Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.

Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.

Firman Allah: (maksudnya):

Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25).

Dalam menafsirkan ayat ini Ibn Abbas berkata : Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku dikalangan mereka, Nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).

Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.

Kata al-Nawawi (meninggal 676H):

“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munfkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim)

Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.

Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti membonceng antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.

Firman Allah:

(maksudnya) Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). (Surah al-An‘am, ayat 68).

Firman Allah juga: (maksudnya):

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. (Surah al-Nisa, ayat 140).

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:

“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini.

Marilah kita bina iklim takwa..

Monday, August 31, 2009

Perkembangan terbaru Kempen "UTM Say No To Bonceng"

01 September 2009 : Keputusan undian selama sebulan yang telah dibuat di blogspot PMIUTM menunjukkan seramai 287 orang respondan daripada 315 orang bersetuju supaya UTM dijadikan sebagai kawasan Larangan bonceng antara lelaki dan wanita bukan mahram. Manakala selebihnya iaitu seramai 28 orang atau 8% daripada 315 respondan tidak bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai Zon Larangan Bonceng.

Undian tersebut dijalankan oleh PMIUTM selaku penggerak utama adalah bertujuan untuk mendapatkan respon sebagai pengukur kepada kecenderungan mahasiswa . Sejak sebulan lalu kempen ini dijalankan, pelbagai pihak telah memberi respon sama ada yang bersetuju mahupun yang tidak bersetuju. Walaupun dalam jumlah respondan yang hanya 315 orang sahaja, keputusan majoriti menunjukkan mahasiswa kebanyakannya cukup bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng.

Dalam satu perkembangan yang lain, Pengerusi Badan bertindak UTM Zon Larangan bonceng,Saudara Ismail Bin Sirajudin telah dimaklumkan oleh Saudara Azim Fahada, Exco Kebajikan MPPUTM merangkap pengerusi Pro Mahasiswa UTM bahawa beliau telah menerima proposal daripada semua kolej di UTM berkenaan tuntutan mahasiswa kepada pihak lembaga pengarah UTM yang akan dibentangkan dalam mesyuarat kebajikan mahasiswa pada 9 September 2009 nanti.

Menariknya, kebanyakan Jawatankuasa kolej Mahasiswa (JKM) yang telah menghantar proposal mencadangkan supaya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng sebagai salah satu cadangan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif dimana pimpinan mahasiswa diperingkat kolej juga mula menunjukkan respon positif terhadap kempen ini.

Desakan demi desakan dari pelbagai pihak InsyaAllah bakal mengubah utm kepada suasana yang lebih harmoni dengan wujudnya zon larangan bonceng ini. Justeru, pihak jawatankuasa pusat "UTM Say No To Bonceng" menyeru kepada semua mahasiswa UTM agar dapat memberi penerangan sama ada melalui risalah, blog individu atau ucapan lisan agar mahasiswa UTM lebih sedar tentang pentingnya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng. Sekian. MyLPM.

Sunday, August 16, 2009

Kutipan Tandatangan di PESTA KONVO UTM


16 OGOS 2009 : Ahli Jawatankuasa Pusat akan meneruskan kempen ke pesta konvo yang telah berlangsung beberapa hari lepas untuk mengutip tandatangan tanda sokongan terhadap kempen ini. Laporan yang diterima hari ini menunjukkan hampir 5000 mahasiswa telah menurunkan tandatangan tanda sokongan terhadap kempen ini. Sokongan ini bukan sahaja di kalangan orang Islam, malah daripada kaum cina dan juga India. Borang tandatangan akan diletakkan di gerai Persatuan Mahasiswa Islam yang berada di pesta konvo.

Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif kerana kempen ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dikalangan mahasiswa dan warga utm yang lain. Disamping itu, pihak jawatankuasa pusat juga telah menerima banyak surat sokongan daripada pimpinan-pimpinan persatuan di dalam universiti, tidak kurang juga daripada beberapa orang atasan universiti.

Selain itu, bagi merancakkan lagi kempen ini, pihak jawatankuasa pusat telah membuat pelekat menggunakan logo "UTM SAY NO TO Bonceng" untuk diedarkan kepada masyarakat kampus. Selain itu, poster dan banner kempen juga akan dinaikkan di sekitar kampus UTM tanda keseriusan pihak jawatankuasa terhadap kempen ini. Sekian. MyLPM

Thursday, August 6, 2009

1128 Mahasiswa UTM Menyokong UTM Say No to Bonceng

07 Ogos 2009: Setakat pukul 12:46 tengahari ini, sebanyak 1128 tandatangan mahasiswa UTM telah dikumpulkan daripada borang-borang tandatangan yang dikembalikan kepada jawatankuasa pusat UTM Say No to Bonceng. Kempen pungutan tandatangan yang bermula sejak 3 Ogos 2009 yang lalu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa UTM pelbagai bangsa dan agama.

Ketua-ketua Operasi Kolej telah menjalankan tanggungjawab mereka untuk membahagikan tenaga kerja di kolej masing-masing dengan dibantu oleh ahli jawatankuasa pusat. Kempen ini turut dibantu oleh ahli-ahli PMI UTM, Biro-biro dan Kelab-kelab Kerohanian di kolej-kolej sekitar UTM. Biarpun kekurangan tenaga kerja di beberapa buah kolej, ia tidak membantutkan semangat ahli jawatankuasa pusat untuk terus mendekati mahasiswa bagi mendengar pandangan mereka mengenai kempen ini.

Terbaru, pihak Pusat Islam UTM yang diwakili oleh Pengarah Pusat Islam, Dr. Azhar Mohamed turut menyatakan sokongannya untuk menjayakan kempen ini melalui surat sokongan yang telah disampaikan kepada Pengerusi jawatankuasa pusat. Beberapa persatuan fakulti termasuk Persatuan STRATEGI dan Persatuan SMART dari Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (FPPSM) turut menyuarakan sokongan kepada kempen UTM Say No to Bonceng. Timbalan Dekan (Akademik) FPPSM, PM. Dr. Rosman Bin Md. Yusoff pula mewakili FPPSM untuk menyatakan sokongan melalui surat yang dihantar kepada jawatankuasa pusat, menjadikan fakulti tersebut fakulti yang kedua menyokong kempen ini selepas FKE.

Menurut Pengerusi jawatankuasa pusat, kempen yang berjaya menarik perhatian banyak pihak ini akan diserap ke dalam Kempen Akhlak Mulia 2009 (KAM '09) yang dianjurkan oleh PMI UTM bermula hari ini hingga 29 Ogos 2009 dan bakal menjadi salah satu fokus utama gejala sosial yang akan dibincangkan secara bersama antara mahasiswa, Pusat Islam, Unit Keselamatan, PPIPS dan pihak pentadbiran UTM.

Pihak jawatankuasa pusat masih menunggu borang-borang tandatangan daripada beberapa kolej yang lain untuk tindakan kemaskini. Walaupun begitu, tidak kurang juga yang menentang kempen UTM Say No to Bonceng dengan adanya edaran risalah biru di Kolej 11 beberapa hari yang lalu. Risalah tersebut yang kini berada dalam tangan Pengerusi jawatankuasa pusat akan dikupas dalam entri yang akan datang. Sekian. MyLPM

Tuesday, August 4, 2009

Konferens Gejala Sosial


04 OGOS 2009 : Satu Konferens Gejala Sosial bakal diadakan oleh PMIUTM bagi membincangkan permasalahan sosial yang berlaku di sekitar UTM. Ini adalah salah satu usaha pihak jawatankuasa pusat bagi memastikan kempen ini berjaya. Konferens tersebut bakal dihadiri oleh para Pensyarah, pihak pentadbiran HEP, pihak keselamatan UTM dan pimpinan-pimpinan Mahasiswa UTM serta terbuka kepada semua warga kampus.

Pelbagai desakan dan kritikan serta tentangan yang telah diterima oleh Pihak Jawatankuasa pusat dalam pelaksanaan kempen ini. Oleh itu, pihak kami telah mengaturkan satu program khusus bagi sama-sama kita membincangkan permasalahan yang semakin serius ini. Lontaran pandangan daripada semua amat kami harapkan.

Di akhir konferens ini juga, Satu resolusi bersama hep, mahasiswa, pusat Islam, pihak keselamatan dan umumnya warga kampus akan dibuat bagi mengatasi gejala sosial di UTM untuk diserahkan kepada pihak pentadbiran untuk dilaksanakan.

Lujnah R&D PMIUTM di bawah pantauan Saudara Ghazali selaku pengerusi lujnah R&D PMIUTM juga sedang membuat kajian berkenaan akhlak mahasiswa Islam dengan membuat kaji selidik terhadap hampir 1000 orang respondan secara rawak dikalangan mahasiwa UTM . Kajian ini diharapkan dapat mengukuhkan hujah pihak jawatankuasa bertindak pusat untuk menjadikan UTM sebagai Zon Larangan Bonceng. Sekian. MyLPM.


Sunday, August 2, 2009

Persatuan Mahasiswa pendidikan menyokong kempen Say No To Bonceng!!

Mahasiswa adalah golongan yang terpilih dikalangan masyarakat. Kepakaran dan intelektual men jadi simbolik yang tidak dapat dipisahkan dari pandangan masyarakat terhadap mahasiswa. Daya pemikiran yang tinggi dan jauh juga menjadikan mahasiswa golongan yang istimewa dan dikagumi. Disebabkan itulah mahasiswa diberi tempat yang istimewa iaitu ditempatkan disebuah institusi yang dipanggil sebagai universiti. Segala kemudahan dan prasarana yang pelbagai disediakan kepada mahasiswa untuk memastikan proses perkembangan intelektual menjadi pesat dan tepat.

Persoalan utama yang perlu diselesaikan adalah adakah mahasiswa sekarang seperti yang dinyatakan. Kehidupan mahasiswa sekarang tidak menggambarkan budaya intelektual fungsi. Mahaiswa lebih suka membudayakan budaya luar seperti hedonisma, berpasangan , melepak dan sebagainya. Perkara ini amat membimbangkan bagi golongan yang mengambil berat. Oleh itu, kedengaran baru baru ini, proses transformasi telah dilancarkan untuk mengambalikan mahasiswa ke tempat yang sepatutnya.

Pelbagai pihak yang mempunyai kesedaran telah memainkan peranan mereka untuk mengizzahkan kembali mahaiswa. Antaranya Persatuan Mahasiswa Islam University Teknologi Malaysia. Persatuan ini telah melakukan banyak usaha untuk menjadikan mahasiswa benar- benar sedar tentang peranan sebenar seorang mahasiswa .Program seperti seminar intelektual dan projek “Say No To Bonceng”. projek “Say No To Bonceng” adalah salah satu projek yang dirangka dengan cukup teliti dalam membanteras kejatuhan moral dikalangan mahasiswa akibat tidak mempunyai pemikiran yang panjang. Projek ini mempunyai nilai yang cukup tinggi dalam membangunkan kembali nilai seorang mahasiswa.

Pencegahan budaya membonceng adalah amat perlu dalam menangani masalah gejala social yang parah sekarang ini. Membonceng adalah salah satu proses dalam gejala sosial yang akhirnya akan membawa kepada keruntuhan akhlak . Secara logiknya, apabila sesuatu pasangan yang bukan mahram bebas melakukan perkara yang tidak bermoral akan menyebabkan berlakunya perkara perkara maksiat seperti zina, mengandung luar nikah dan sebagainya. Ini akan menjatuhkan maruah sebagai golongan intelektual.

Dengan itu, Persatuan Mahasiswa Pendidikan dengan sepenuh hati menyokong usaha yang dilakukan oleh Persatuan Mahasiswa Islam dan akan cuba membantu jika memerlukan bantuan dalam menjayakan program ini. Kami juga menyeru kepada seluruh masyarakat kampus supaya memberikan sokongan dan kerjasama yang baik dalam menjayakan usaha yang dilakukan oleh Persatuan Mahasiswa Islam ini.

Oleh :
Presiden Persatuan Mahasiswa Pendidikan utm
http://penunggangdunia.blogspot.com/

Thursday, July 30, 2009

Nantikan kami di bilik anda!!!

Penggerak Kempen "UTM Say No To Bonceng" bakal menemui seluruh mahasiswa untuk sama-sama menyokong kempen ini yang akan dijalankan seperti jadual di atas. Sesiapa yang mempunyai kelapangan masa pada tarikh-tarikh berikut dan ingin turut sama menyumbangkan tenaga bagi kempen ini, hubungi : 013-7143682. Satu taklimat akan diadakan bersama semua ketua-ketua di setiap kolej pada 2hb ogos untuk penyelarasan gerak kerja.

Inilah masa untuk kita melakukan perubahan ke arah lebih baik. Sama-sama kita merebut amal kebaikan berpanjangan dengan menyertai team penggerak kami pada tarikh-tarikh yang dinyatakan di atas. Sumbangan tenaga yang anda berikan amat kami hargai. Sekian. MyLPM.


Wednesday, July 29, 2009

Roud Tour Ke Kolej Tun Razak

30 Julai 2009 : "UTM Say No To Bonceng" meneruskan siri-siri kempen ke kolej di sekitar UTM. Hari ini, AJK bertindak pusat telah turun untuk membuat sesi penerangan di Kolej Tun Razak bersama pimpinan Kelab STAR.

Seperti mana di kolej-kolej yang pernah pihak kami lawati sebelum ini, Kelab STAR juga bersiap sedia untuk membantu PMIUTM dalam merealisasikan agenda menjadikan UTM sebagai Zon Larangan Bonceng.

Secara peribadi, Saudara Khairuddin yang merupakan pemangku kepada Saudara Hafizuddin, Pengerusi kelab STAR yang kini sedang menjalani Latihan Mengajar di Kota Tinggi amat menyokong kempen ini. Sokongan ini juga disambut baik oleh pimpinan Mahasiswi kelab STAR yang turut hadir dalam perbincangan tersebut.


Dalam pada masa yang sama juga, Penggerak siswi diperingkat pusat yang diketuai oleh Saudari Hasunah, Timbalan Pengerusi Jabatan kerohanian dan Sosial MPP UTM merangkap Setiausaha bagi kempen ini turut menjalankan Road Tour ke kolej Datin Seri Endon untuk mendapatkan respon dan kerjasama daripada Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KDSE.

Sokongan dari pelbagai pihak setakat ini amat memberi motivasi kepada para penggerak diperingkat pusat agar lebih bekerja keras dalam mencapai matlamat kempen ini iaitu menjadikan UTM sebagai zon larangan bonceng.

Pengarah operasi UTM Zon Larangan Bonceng, Saudara Zaki Haron juga turut memaklumkan bahawa siri-siri kempen ke Kafe-kafe disekitar UTM juga bakal diadakan dalam sedikit masa lagi. Sekian. MyLPM.

Tuesday, July 28, 2009

Pengawal keselamatan UTM sedia beri kerjasama


29 Julai 2009 : Seramai 2 orang AJK bertindak pusat UTM Say No To Bonceng telah berjumpa dengan salah seorang pengawal keselamatan UTM bagi mendapatkan respon berkenaan isu ini. Perancangan awal di pihak AJk adalah ingin bertemu dengan pengarah Keselamatan UTM, En Halim bagi mendapatkan respon beliau terhadap isu ini namun tidak kesampaian kerana beliau sibuk dengan pelbagai urusan.

Tetapi, beberapa orang pegawai keselamatan yang lain telah menggantikan En. Halim untuk kami temuramah dan mendapatkan respon.
Dalam temuramah yang singkat bersama En.Shahwal iaitu salah seorang daripada pegawai keselamatan di UTM, pelbagai maklumat yang telah diperolehi berkenaan gejala sosial.

Beliau berkata bahawa pihak keselamatan akan cuba menegur apabila sesuatu keadaan yang diragui berlaku terutamanya apabila waktu malam namun untuk menghalang secara drastik, mereka tidak dapat melaksanakan sewenang-wenangnya kerana setiap tindakan yang di ambil perlu mendapat kebenaran dari pihak atasan. Tambahan beliau, mereka juga amat memerlukan maklumat daripada mahasiswa dan mahasiswi supaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dicegah dan dibendung sebelum berlaku.

Pihak kami sempat melihat beberapa fail berkenaan statistik dan fakta kes gejala sosial yang berlaku di UTM pada tahun-tahun lepas dan memohon untuk mendapatkan salinan statistik tersebut untuk kajian kes bagi kempen ini. Pihak keselamatan sekali lagi memberi kerjasama yang sebaiknya dengan membenarkan pihak kami mendapatkan fakta tersebut.

Sebelum mengakhiri sesi temuramah ringkas, pihak kami sempat untuk bertanya tentang pandangan peribadi En.Shahwal selaku pegawai keselamatan mengenai kempen UTM Say No To Bonceng. Ternyata beliau amat menyokong penuh Kempen ini dan berpandangan bahawa kempen ini mungkin akan menjadi salah cara untuk atasi masalah gejala sosial. Ini kerana, kes perzinaan di UTM semakin banyak dan yang terbaru adalah kes perzinaan antara siswa dengan "cleaner" di kolej. Bukankah ini menjijikkan??Sama-sama kita fikirkan...Sekian. MyLPM.


Dekan Fakulti Elektrik menyokong kempen Say No To Bonceng

29 Julai 2009 : Kehadiran Ahli Jawatankuasa bertindak pusat UTM Zon Larangan bonceng, Saudari Umi Kalsom di pejabat dekan hari ini di sambut mesra oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Dato' Professor Dr. Ahmad Bin Darus.

Kunjungan ini bertujuan untuk meminta pandangan beliau selaku Dekan selain memohon sokongan terhadap kempen ini.

Beliau apabila ditemubual mengingatkan agar kebijaksanaan pendekatan program kempen ini diteliti dengan sebaiknya kerana ianya sangat penting disebabkan komposisi mahasiswa UTM yang terdiri daripada pelbagai fahaman agama, budaya, bangsa dan negara.

Dalam kenyataan yang beliau tulis dalam surat yang diberikan kepada pihak kami bahawa beliau amat menyokong kempen ini kerana ianya bukan sahaja dapat mengurangkan gejala sosial malah dapat menyumbang ke arah mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih sihat dan selamat serta meningkatkan daya kompetetif di kalangan mahasiswa.

Usaha mempergiatkan kempen ini semakin aktif dijalankan oleh para penggerak terutamanya AJK bertindak pusat UTM Zon Larangan bonceng. Tidak kurang juga, sokongan dan dorongan dari semua mahasiswa yang sanggup menawarkan diri secara langsung atau tidak langsung. Usaha ini juga dilihat semakin positif apabila kempen ini mula menjadi bualan kebanyakan mahasiswa di dalam atau luar UTM. Sekian. MyLPM

Thursday, July 23, 2009

Pro-M UTM Menyokong Tindakan Banteras Gejala Bonceng di UTM


Pihak Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (Pro-M UTM) menyokong penuh tindakan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dalam membanteras gejala bonceng yang semakin berleluasa dikalangan mahasiswa UTM. Badan Bertindak UTM Zon Larangan Bonceng yang ditubuhkan oleh PMIUTM diharapkan dapat membantu pihak universiti menaikkan taraf kematangan sosial dikalangan mahasiswa UTM. Pro-M UTM percaya bahawa tindakan seperti ini akan mendatangkan kebaikan kepada mahasiswa dan juga universiti. Oleh itu, pihak Pro-M UTM menyatakan kesediaan untuk membantu PMIUTM dalam usaha murni ini.

Pro-M UTM turut menyeru mahasiswa-mahasiswa, persatuan-persatuan, JKM-JKM dan kelab-kelab di UTM agar bersama-sama membantu dalam menjayakan proposal rasmi badan tersebut. Semoga usaha ini diberkati ALLAH biarpun dipandang sebagai 'kerja bodoh' di mata manusia-manusia yang kurang faham. Memetik firman ALLAH dalam surah al-Anfal ayat 22:

"Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk dalam pandangan ALLAH ialah mereka yang tuli & bisu (tidak mendengar dan memahami kebenaran), iaitu orang-orang yang tidak mengerti."

Menurut pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Azim Fahada, beliau setakat ini telah bertemu dengan Pengarah Keselamatan En Halim untuk mencerap idea bagi pembangunan sistem keselamatan UTM dan sekaligus membawa perubahan dalam isu kerosakan sosial UTM.

Dalam perkembangan yang lain, Pro Mahasiswa telah membuat satu pertemuan bagi mencapai kata sepakat mengenai isu ini dan bercadang untuk memberi sumbangan tenaga dalam siri-siri kempen yang akan dijalankan pada masa akan datang.

Tanyalah diri anda sebagai mahasiswa, di manakah anda dalam isu ini? Student..Power!!!!

Sumber : http://promahasiswautm.blogspot.com

100 Orang Mahasiswa KTR menyokong Kempen No Bonceng



23 Julai 2009 : Kempen UTM Say No To Bonceng telah memulakan langkah untuk mengutip tandatangan sokongan daripada mahasiswa. Hari ini lebih seratus mahasiswa Kolej Tun Razak telah mula menurunkan tandatangan tanda sokongan terhadap usaha ini di dalam satu program Ceramah Isra' dan Mi'raj yang dianjurkan oleh Kolej Tun Razak dengan kerjasama Kelab Iqra UTM.

Nampaknya kesedaran mahasiswa terhadap gejala sosial khususnya gejala bonceng ini semakin baik. Ini merupakan salah satu objektif yang telah diletakkan diperingkat jawatankuasa bertindak untuk menanamkan rasa benci terhadap perkara-perkara maksiat.

Saudara Ammar, Presiden Kelab Iqra yang ditemui dalam majlis ceramah tersebut juga amat menyokong usaha ini agar diteruskan sehingga berjaya. Dalam majlis yang sama, Saudara Arifuddin daripada Pro Mahasiswa UTM juga menyatakan sokongan beliau agar UTM menjadi Zon Larangan bonceng.

Setakat ini, beberapa persatuan fakulti telah menghubungi jawatankuasa bertindak pusat untuk mereka menghantar surat sokongan terhadap kempen ini. Pimpinan-pimpinan persatuan Mahasiswa UTM yang lain juga diharap dapat menyatakan sokongan dalam pelbagai cara agar UTM bebas daripada gejala yang merosakkan. Sekian. MyLPM.


Bersama LTKS dan JKM KTDI



23 Julai 2009 : Siri Kempen ketiga Jawatan kuasa bertindak UTM Zon Larangan bonceng hari ini berlangsung di Kolej Tun Dr Ismail.

Pengerusi Badan bertindak memulakan kempen tersebut setelah selesai menunaikan solat maghrib dengan memberikan sedikit tazkirah atau pengisian ringkas berkenaan dengan kempen UTM Zon Larangan Bonceng.

Sesi perbincangan bermula selepas isyak di antara jawatankuasa pusat UTM Zon Larangan Bonceng bersama Pimpinan Kolej Tun Dr Ismail. Antara pimpinan mahasiswa KTDI yang turut sama dalam perbincangan tersebut ialah Bendahari JKM KTDI, Saudara Muaz, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan Surau (LTKS),Saudara Abd Hadi dan timbalan pengerusinya Saudara Mahazmi.


Dalam sesi perbincangan dan penerangan ringkas yang berlangsung hampir setengah jam, kata sepakat telah dicapai apabila Saudara Muaz yang mewakili Kepimpinan Mahasiswa di Kolej Tun Dr Ismail menyatakan persetujuan untuk bergabung dalam Jawatankuasa Ini.

Saudara Abd Hadi juga turut menyatakan bahawa beliau akan cuba sedaya upaya untuk menggerakkan mahasiswa KTDI untuk menyokong agenda menjadikan UTM sebagai kawasan Larangan Bonceng.

Siri kempen yang dijalankan menunjukkan bahawa mahasiswa khususnya barisan kepimpinan yang ada di setiap kolej menyokong usaha ini dan berharap agar ianya berjaya dilaksanakan. Sekian. MyLPM.

KEPWA tekad untuk membantu menjayakan 'UTM say no 2 bonceng'




Biro Kebajikan dan Pengaduan Awam (KEPWA) Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KTC bertekad untuk bersama-sama dengan Biro Kerohanian (BADAR) dalam membantu jawatakuasa bertindak pusat program UTM say no 2 to bonceng. KEPWA melihat perkara ini sebagai satu petanda yang baik kearah kehidupan yang lebih selamat dan sejahtera di Kolej Tuanku Canselor. Oleh yang demikian, KEPWA bersedia pada bila-bila masa untuk mengunakan Majlis Ketua-Ketua blok (MKB 2009/2010) untuk membantu jawatankuasa bertindak pusat dalam meminta tandatangan daripada mahasiswa KTC dari bilik ke bilik sebagai tanda bantahan terhadap gejala bonceng yang semakin berleluasa dan sebagai tanda sokongan terhadap program yang dilaksanakan. KEPWA juga akan menjadi golongan pendesak kepada pentadbiran kolej dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa untuk sama-sama membantu dan turun padang sebagai tanda sokongan terhadap program yang dilaksankan ini.

Abdul Azim Bin Abd Jamil
Ketua Kebajikan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KTC

Sumber: http://cahaya-keinsafan.blogspot.com


Wednesday, July 22, 2009

Lawatan Kempen "Say No To Bonceng" di KTC



22 Julai 2009: Seramai 5 Orang Jawatankuasa bertindak pusat UTM Zon Larangan bonceng turun ke Kolej Tuanku Canselor bagi meneruskan siri Kempen ke kolej-kolej di dalam UTM. Ini merupakan siri lawatan kedua setelah siri yang pertama di Kolej Tun Hussien Onn.


Sesi taklimat dan penerangan ringkas berkenaan matlamat dan objektif misi telah dibentangkan dihadapan hampir 20 orang Mahasiswa dari kolej Tuanku Canselor. Turut hadir, Pengerusi BADAR, Saudara Farid, Pengerusi Kelab Remaja Ukhuwwah, Saudara Izmar dan Exco Kebajikan Jawatan Kuasa Kolej Mahasiswa Saudara Azim Jamil. Rata-rata yang hadir menyatakan kesediaan untuk menjalankan usaha pembanterasan gejala bonceng di peringkat UTM.

Di dalam pertemuan ini juga, PMIUTM dengan persetujuan Biro Kerohanian KTC telah menubuhkan jawatankuasa cawangan di Peringkat Kolej Tuanku Canselor bagi mengendalikan segala gerak kerja di peringkat Kolej. Saudara Munzir, Pelajar Tahun 1 telah dilantik menjadi ketua Operasi bagi Jawatankuasa cawangan di kolej Tuanku Canselor.

Setakat ini, PMIUTM telah menerima banyak respon positif daripada Persatuan-persatuan, Kelab Kerohanian Kolej, Fakulti-fakulti dan juga Mahasiswa Antarabangsa khususnya mahasiswa Yaman. Ternyata mereka semua menyokong usaha ini agar diteruskan sehingga UTM benar-benar menjadi Zon Larangan Bonceng. Sekian. MyLPM.

Sumber : http://utmsayno2bonceng.blogspot.com

Tuesday, July 21, 2009

Bikers KTHO sedia bergabung bersama PMIUTM


21 Julai 2009 : Biro kerohanian dan Sosial (BIKERS) Kolej Tun Hussin Onn hari ini menyatakan kesediaan untuk bersama-sama menjayakan misi menjadikan UTM sebagai kawasan Larangan bonceng.

Dalam sesi pertemuan yang ringkas, Saudara Arrasyidin selaku Pengerusi BIKERS bersama beberapa ahli Jawatankuasa yang lain turut memberi respon yang positif di atas usaha PMI membendung gejala bonceng. Ini merupakan siri lawatan pertama Pengerusi Jawatankuasa bertindak ke Kolej-kolej dalam rangka memberi taklimat di samping mempromosikan kempen UTM zon larangan bonceng ini. Siri-siri lawatan yang lain akan menyusul dalam masa yang terdekat.

Difahamkan juga bahawa esok akan diadakan satu pertemuan bersama beberapa orang yang telah menawarkan diri secara sukarela untuk berkhidmat didalam ahli jawatankuasa ini. Pengarah Operasi, Saudara Zaki Haron yang juga Ex MPP UTMKL akan memberi sedikit taklimat dan membentangkan modus Operandi yang telah dirancang. Sekian. MyLPM.


Monday, July 20, 2009

PMIUTM tubuh Jawatankuasa bertindak Cegah gejala Sosial

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) mengambil langkah proaktif bagi mencegah gejala sosial dikalangan mahasiswa dengan menubuhkan Badan Bertindak UTM Zon Larangan Bonceng.

Badan bertindak ini bertujuan membenteras gejala bonceng dikalangan siswa-siswi yang bukan mahram yang berleluasa sekarang.

Menurut Pengerusinya Ismail Bin Sirajudin, Badan bertindak ini akan mengumpulkan 10,000 tandatangan pelajar selain mendapatkan sokongan dari pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pensyarah-pensyarah, Pengetua-Pengetua Kolej, Dekan-dekan Fakulti, Pihak keselamatan, Pusat Islam UTM dan jika perlu akan dirujuk ke peringkat Mufti Johor bagi menjayakan penguatkuasaan ini.

Menurutnya lagi, gejala membonceng dengan bukan mahram ini memberi imej buruk kepada pelakunya sahaja malahan kepada masyarakat kampus keseluruhanya.

Kes gejala sosial agak meruncing di kampus ini sehingga menyebabkan kematian, merujuk kepada kematian seorang siswi baru-baru ini. MyLPM PMIUTM.

Sumber:http://pmiutm.blogspot.com